Saturday, September 5, 2009

KESAN PENCEMARAN - PENDUDUK TERPAKSA BELI AIR BERSIH

SANDAKAN: Penduduk Kampung Segaliud di sini yang bergantung kepada sumber air dari Sungai Segaliud untuk kegunaan harian kini terpaksa membeli air bersih disebabkan pencemaran di sungai berkenaan.

Mereka yang tidak menerima bekalan air paip terpaksa membelanjakan RM12 setiap hari untuk mendapatkan 20 liter air disebabkan air sungai itu tidak selamat digunakan akibat tercemar oleh sisa toksik.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Segaliud, Jusliyan Tukong, berkata penduduk yang tidak mampu mendapatkan bekalan air paip, hanya menggunakan air dari Sungai Segaliud untuk keperluan harian.

“Keadaan sungai yang tercemar akibat pembuangan sisa toksik memaksa penduduk membeli air dari penduduk lain,” katanya kepada di sini kelmarin.

Empat kampung terletak di seberang sungai tersebut yang terjejas adalah Segaliud Seberang, Segaliud Bersatu, Segaliud Lungtueh dan Segaliud Jambatan.

Jusliyan berkata keadaan itu sangat membebankan penduduk yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan dan bergantung kepada sumber pendapatan dari Sungai Segaliud.

Beliau meminta pihak berkaitan supaya mempercepatkan kelulusan permohonan penduduk kampung untuk mendapatkan tangki air bagi membekalkan air bersih kepada mereka.

Thursday, August 27, 2009

PENCEMARAN BAU KHINZIR MENYEKSAKAN PELAJAR SMK AGAMA SANDAKAN

SILA maklum bahawa saya mewakili penduduk Taman Mawar Sandakan ingin memaklumkan bahawa para pelajar khususnya SMK Agama Sandakan dan SK Mawar adalah tidak selesa kerana terdapat kilang ternakan babi di Jalan Ulu Sibuga tidak jauh daripada sekolah dan kawasan perumahan penduduk Taman Mawar, Sandakan.

Bau babi yang amat menyakitkan akan menusuk hidung terutamanya apabila angin bertiup. Dengan itu, saya berharap agar pihak Majlis Perbandaran Sandakan, Jabatan Alam Sekitar dan YB yang telah dipilih dalam pilihanraya yang lepas agar dapat mengambil tindakan segera dan berkesan.

Kenapa kami penduduk Islam Taman Mawar dan khususnya para anak-anak pelajar kami yang terpaksa mengharungi ketidakselesaan sedangkan taukeh babi tersebut yang membuat untung dari bisnes tersebut.

Kami tidak membantah sekiranya taukeh babi tersebut mahu menternak babi dan memakan babi setan pun setiap hari kerana itu memang makanan meraka, namun, kenapa penduduk dan masyarakat berhampiran yang menjadi mangsa menghidu bau babi tersebut.

Bertambah buruk lagi dengan kejadian kes penyakit H1N1 ini, kenapa babi-babi tersebut dibiarkan hidup selesa sedangkan masa seleseama burung tersebut, habis ayam, itik diburu dan dimusnahkan.

Adakah penguatkuasa takut babi!Akhir sekali, mohon YB yang terpilih untuk mengambil tindakan sebelum kami menukarkan YB tersebut kepada YB yang mahu melaksanakan amanah rakyat pada pilihanraya akan datang.Sekian,Zamri Mamak

Tuesday, August 25, 2009

PENCEMARAN SG. SEGELIUD

SANDAKAN : Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah diminta mengambil tindakan tegas terhadap kilang-kilang yang bertanggungjawab mencemar Sungai Segaliud dekat sini hingga mengakibatkan banyak hidupan air tawar itu ditemui mati terapung-apung hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekong, Datuk Samsudin Yahya berkata, langkah segera perlu diambil kerana lebih 2,000 penduduk tinggal serta bergantung hidup dengan sungai tersebut sebagai sumber air dan pendapatan.

Tegas Samsudin, JAS perlu memeriksa kandungan sungai tersebut dengan mengambil contoh airnya bagi memastikan sama ada masih selamat digunakan atau sebaliknya.

"Sungai Segaliud kini berdepan dengan pencemaran serius apabila hidupan sungai itu mati secara tiba-tiba. Bangkai ribuan ikan, udang dan hidupan air tawar lain ditemui mati dan airnya juga berbau busuk.

"Kejadian ini disedari penduduk setelah ikan dan udang timbul di permukaan dalam keadaan mata merah dan perut buncit," katanya kepada pemberita ketika melawat sungai itu di sini hari ini.

Menurutnya, antara ikan yang mati adalah lampam Jawa, baung dan ketulu yang juga dikenali penduduk setempat sebagai ikan ubi.

Beliau berkata, tindakan segera adalah perlu kerana sungai itu bukan sahaja menjadi sumber air kepada penduduk setempat tetapi juga penduduk di bandar Sandakan.

"Cari punca pencemaran, kalau boleh pergi ke setiap pelosok aliran air sungai terutama di setiap kilang pembuangan sisa kumbahan kelapa sawit yang terdapat di sekitar sungai ini," katanya.

Katanya, pihak kilang yang melakukan perbuatan tersebut perlu diheret ke mahkamah dan hukuman setimpal perlu dikenakan.

Tambahnya, masalah pencemaran di sungai tersebut bukan sesuatu yang baru kerana sudah berlaku beberapa kali dan adalah wajar hukuman berat dikenakan.